PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan angka jangkitan COVID-19 di peringkat global kini mencecah lebih 13,150,645 kes setakat Rabu.

Data pertubuhan tersebut turut mendedahkan kes kematian berkaitan COVID-19 di seluruh dunia adalah sebanyak 574, 464 kematian.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling tinggi merekodkan kes positif selepas negara Uncle Sam itu merekodkan lebih 3.3 juta kes dengan 135,053 kematian setakat ini.

Brazil pula negara kedua tertinggi merekodkan kes COVID-19 dengan lebih 1.8 juta kes dan 72,833 kematian.

Menurut data yang dikeluarkan John Hopkins University, sebanyak 71,072 kes baharu direkodkan di AS, dengan 862 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Susulan peningkatan jumlah pesakit yang sedang dirawat di hospital, data yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan Florida turut mendedahkan negara itu kini berdepan masalah kekurangan katil di hospital, selain tekanan berterusan terhadap sistem perubatan.

Data tersebut memaklumkan sekurang-kurangnya 54 hospital tidak mempunyai katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dianggarkan hanya 10 peratus bilik ICU di 40 hospital memiliki katil, setakat ini.