KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz optimis dengan keupayaan ekonomi Malaysia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), bersandarkan pencapaian semasa negara.

Beliau berkata walaupun AS menunjukkan kadar pengangguran yang meningkat, petunjuk ekonomi negara termasuk kadar inflasi yang terkawal dan unjuran pertumbuhan negara bagi suku kedua sebanyak 5.8 peratus telah memberi sokongan yang baik.

Bagaimanapun, katanya negara juga perlu bersedia untuk menghadapi situasi buruk termasuk memberi fokus kepada industri yang berdaya tahan.

"Bagi kita, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 130 peratus, kita perlu memastikan ekonomi kita adalah ekonomi yang pelbagai, bukan sahaja dari segi produk dan KDNK, malah pasaran, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Pertemuan Konsultasi Kebangsaan mengenai Perdagangan Hijau, anjuran Khazanah Research Institute serta Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

-- BERNAMA