LOS ANGELES: Konglomerat media Paramount Global mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan mengurangkan 15 peratus tenaga kerjanya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) atau kira-kira 2,000 pekerjaan, sebagai sebahagian daripada pelan penjimatan kos yang lebih luas, lapor Xinhua.

Pemotongan itu akan tertumpu pada dua bidang termasuk fungsi yang berlebihan dalam pemasaran dan komunikasi serta dalam kewangan, undang-undang, teknologi dan peranan sokongan lain, kata Chris McCarthy, ketua pegawai eksekutif bersama Paramount Global, semasa panggilan persidangan pendapatan suku kedua.

"Tindakan ini akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang dan akan selesai pada akhir tahun," katanya, sambil menambah bahawa "ini adalah keputusan yang sukar untuk dibuat."

Laporan pendapatan suku kedua yang dikeluarkan pada Khamis mendedahkan cabaran kewangan yang signifikan bagi Paramount, yang memiliki CBS, Paramount Pictures dan rangkaian kabel popular.

Syarikat itu melaporkan kerugian operasi yang besar disebabkan penurunan nilai rangkaian TV kabelnya sebanyak US$5.98 bilion.

Penurunan nilai itu dikaitkan dengan pengambilalihan Paramount yang belum selesai oleh Skydance Media, yang dijangka akan selesai menjelang 30 September 2025.

Pemotongan pekerjaan adalah sebahagian daripada pelan penjimatan kos sebelum ini yang diumumkan oleh tiga ketua pegawai eksekutif bersama Paramount untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak US$500 juta sebelum penggabungan dengan Skydance.

-- BERNAMA