Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thai mengeluarkan keputusan rasmi pungutan suara Ahad lepas yang menunjukkan 61.35 peratus pengundi menyokong draf perlembagaan berbanding 38.65 peratus menentang.

Pengerusinya Suphachai Somcharoen berkata, perangkaan lengkap keputusan itu menunjukkan 16.82 juta pengundi menyokong sementara 10.59 juta menentang.

"Jumlah yang keluar mengundi dalam pungutan suara itu ialah 59.40 peratus atau 29.74 juta dari sejumlah 50.071 juta orang yang layak mengundi," katanya kepada media di sini hari ini.

Mengenai soalan tambahan dikemukakan pada pungutan suara itu termasuk sama ada membenarkan Senat menyertai Dewan Perwakilan dalam memilih perdana menteri, 58.07 peratus menyokong, kata beliau.

Suphachai berkata, lima wilayah teratas yang menyokong draf itu ialah Chumphon, Nakhon Si Thammarat, Phuket, Surat Thani dan Ranong, kesemuanya di bahagian selatan Thailand.

Sementara itu, pesuruhjaya EC Somchai Srisutthiyakorn yang turut hadir pada sesi menemui media itu berkata, keputusan pungutan suara itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha hari ini.

Pungutan suara itu adalah sebahagian daripada roadmap kerajaan pimpinan tentera untuk kembali kepada pemerintahan demokrasi, dua tahun selepas rampasan kuasa dari pentadbiran awam.

Semalam, Jen Prayut dalam reaksinya kepada keputussan pungutan suara itu, mengulangi kenyataannya bahawa pilihan raya umum akan diadakan tahun hadapan sebagaimana ditetapkan di bawah roadmap itu.