TIADA siapa yang dapat menyangkal kehebatan ahli falsafah dan penyair, Jalaluddin M. Rumi.

Falsafah dan interpretasi syair-syair beliau yang bersifat evergreen -- mampu menyentuh kerohanian dan sanubari manusia sehingga berabad lamanya.

Lebih sinonim dengan panggilan Rumi, ramai barangkali tidak mengetahui kewujudan dua individu penting yang bertanggungjawab dalam mencorak kecintaan beliau dalam subjek kerohanian dan ketuhanan. 

“Mevlana (Rumi) memandang tinggi beberapa individu yang beliau anggap sebagai mentor. Seorang daripada mereka ialah sahabat baik beliau -- Shams-i-Tabrizi yang bertanggungjawab dalam perkembangan ilmiah, rohani dan keperibadian Rumi.

“Perhubungan yang terjalin antara Shams-i-Tabrizi dan Rumi bukan sahaja sebagai guru dan anak murid, malah mereka diikat dengan satu jalinan spiritual dan berpegang teguh kepada ajaran Ilahi yang tidak berbelah bagi,” kata penyelidik dan penulis buku, Celalletin Berberoglu, di kediamannya di Konya, Turkiye, baru-baru ini.

Walaupun zaman telah berubah, namun lipatan sejarah Rumi harus disingkap, diingati, dihayati dan dipelajari, supaya manusia yang hidup dalam era kontemporari boleh bercermin dengan zaman kegemilangan Rumi.

Dari situ, seseorang akan dapat menilai banyak persamaan, perbandingan dan pedoman hidup yang seumpama sudah sedia diterjemah menjadi teks-teks norma masa kini.


Rumi

Ia juga wajar dihayati supaya manusia kini tidak mengulang kembali kesilapan yang boleh menghancurkan bangsa sendiri.

“Rumi ialah seorang ahli mistik Islamik, penyair dan antara sosok utama yang berjaya menginterpretasi keunikan agama Islam, dengan kaedah mencerna idea menerusi syair-syair beliau,” kata Berberoglu.

Karya-karya agung Rumi dimuatkan dalam sebuah kompilasi enam jilid berjudul Masnavi-i-Ma'navi, sebuah siri yang diterbitkan dalam jangka masa yang panjang. (Sehingga saat ini, naskhah ini telah diterjemah ke dalam 23 bahasa.)

Mesej utama yang disampaikan melalui pendidikan ialah cinta terhadap Sang Pencipta, sifat semulajadi manusia (dan keadaannya), tolak ansur serta kezahiran cinta yang bersifat manusia dan Tuhan, dan epistemologi yang diteliti dari aspek Sufi, menurut Berberoglu.

Mesej-mesej universal Rumi bersifat cinta hakiki dan masih relevan dalam aliran pemikiran Islam dan merentas zaman, tambahnya.

BACA: Universal dan mistik itu... Rumi 

Konya


Perjalanan hidup Rumi terbahagi kepada beberapa fasa

Sejak penghijrahan beliau dari tanah kelahirannya di Balkh (kini Afghanistan) ke Konya, bumi Anatolia pada abad ke-13 sedang bergolak.

Pada abad itu, Anatolia mempunyai struktur yang unik -- bermula dengan pencerobohan Mongol, gerakan cendekiawan dan keperitan ekonomi akibat perang.
  
“Impak yang begitu dirasai manusia (pada waktu itu) adalah dari aspek sosiologi dan psikologi... dan bertitik-tolak dari sini, manusia mula merasakan keperluan untuk mendalami ajaran Rumi bagi menenangkan jiwa yang bergelora pada saat itu,” kata Berberoglu.

Seperti petikan Rumi, the doctor seeks the patient, and water seeks the thirsty …

Pada waktu itu, tambah Berberoglu, Anatolia tandus tanpa paksi ketuhanan yang penting bagi memastikan keamanan sejagat.

“Rumi menjadi rujukan dan antidot bagi ummah," katanya. 

Rumi dan penguasaan linguistik

Sewaktu zaman kegemilangan Uthmaniah, sastera memainkan peranan penting dalam peradaban empayar itu dan bait-bait syair diekspresi menerusi bahasa Parsi.

“Rumi memilih penghasilan syair kerana pada waktu itu medium itu sangat popular selepas mengambil kira konteks kebudayaan dan duniawi," jelas Berberoglu.

Frasa-frasa syair Rumi turut diabadikan dalam karya-karya yang lain termasuk Fihi Ma Fihi dan Majalis-e-Saba.

‘Malam Perkahwinan’ atau Seb-i-Arus

Acara Seb-i-Arus mengandungi mesej signifikan Rumi.

Dalam sambutan memperingati kematian Rumi pada 17 Disember 1273, lebih dari 60,000 pelawat akan membanjiri kota Konya.

Rumi, sebelum beliau meninggal dunia, menyatakan kematiannya adalah ‘Malam Perkahwinan’ kerana di saat itu berlaku penyatuan antara manusia dan Penciptanya.

Rumi

"Pengunjung datang untuk menjiwai Rumi dengan lebih mendalam, tanpa sebarang konflik pendapat.

“Kita perlu memahami perbezaan bukan penyebab berlakunya konflik namun peluang untuk menjadi saksi ciptaan indah Ilahi. 

"Ini yang menjadikan Seb-i-Arus begitu unik. Jika seseorang itu berpayung di bawah cinta terhadap Ilahi, pastinya dunia ini bebas dari peperangan dan konflik," tambah Berberoglu.



Nota: Lawatan penulis ke Turkiye pada Disember, 2024 adalah sebahagian daripada kerjasama Astro AWANI dan Turkish Airlines.

Jangan ketinggalan menelusuri kisah hidup Rumi dalam dokumentari, 'Rumi' di Saluran 501 (Astro AWANI) dan Live TV (astroawani.com) tidak lama lagi.