Beliau berkata pengeluaran dari perairan laut pantai menyumbang sebanyak 86.7 peratus iaitu 1.23 juta tan metrik manakala laut dalam sebanyak 13.3 peratus dengan jumlah tangkapan 189,000 tan metrik.
Adnan berkata sebanyak 49,173 vesel digunakan untuk menyokong aktiviti penangkapan melibatkan 112,344 nelayan termasuk 25,125 kru asing.
"Sumbangan besar hasil tangkapan kita adalah dari Zon A sebanyak 484,220 tan metrik diikuti Zon C (430,260 tan metrik) dan Zon B (318,080 tan metrik).
"Zon A melibatkan aktiviti perikanan sampan kecil iaitu dari kosong hingga lima batu nautika manakala Zon B melibatkan jarak hingga 12 batu nautika dan Zon C lebih 12 batu nautika iaitu melibatkan vesel komersial," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Adnan berkata pada tahun hadapan, jabatan itu menyasarkan jumlah pengeluaran sektor perikanan negara meningkat kepada 1.5 juta tan metrik walaupun sumber perikanan negara terhad.
Beliau berkata sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya usaha dan program pemuliharaan sumber terus dijalankan secara mampan antaranya melabuhkan tukun di perairan umum, mengawal pelesenan perikanan dan pencerobohan.
Selain itu, katanya usaha mewujudkan kawasan perlindungan marin turut dilaksanakan dan sehingga kini, sebanyak 56 pulau di seluruh negara telah diwartakan sebagai Taman Laut.
"Peningkatan sumbangan ini kita jangkakan daripada aktiviti perikanan laut dalam khususnya di perairan Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Johor timur.
"Kita juga memberi tumpuan kepada pendaratan ikan tuna iaitu vesel kita dilesenkan menangkap ikan itu di Lautan Hindi," katanya.
-- BERNAMA