SEOUL: Korea Selatan memutuskan untuk menerima 207,000 pekerja asing bukan profesional ke negara itu tahun depan di bawah program yang bertujuan menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor seperti pertanian dan perikanan, lapor Agensi Berita Yonhap pada Jumaat, memetik kenyataan pegawai.

Berdasarkan keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa kerajaan, bilangan pekerja di bawah visa permit pekerjaan E-9 untuk tahun depan ditetapkan pada 130,000, iaitu penurunan sebanyak 35,000 berbanding tahun ini, menurut Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan.

Bilangan pekerja di bawah visa kerja bermusim E-8 pula ditingkatkan 7,000 kepada 75,000, mengambil kira penurunan populasi di kawasan luar bandar dan komuniti nelayan.

Bagi visa pekerjaan pelaut E-10, tiada had jumlah tetap kerana ia beroperasi di bawah sistem kuota keseluruhan. Pegawai menjangkakan jumlahnya sekitar 2,100 tahun depan.

Kerajaan merancang untuk memuktamadkan kuota khusus bagi setiap visa dan menetapkan pelan operasi untuk tahun depan selepas berbincang dengan agensi berkaitan.

-- BERNAMA