Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata hal itu kerana terdapat sebilangan pengusaha di beberapa lokasi pelancongan memandang enteng perkara berkenaan.
"Hal ini berdasarkan pengamatan saya di beberapa lokasi pelancongan yang dikenali (di Perak), iaitu bilangan pelancong yang datang tidak semeriah sepertimana sebelum ini.
"Apa yang dapat dilihat, kurangnya penambahbaikan membabitkan prasarana dan saya fikir sekiranya berterusan, maka pelancong yang selama ini datang ke kawasan itu berkemungkinan mencari tempat lain," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital@Perak di sini hari ini.
Beliau berkata selain penambahbaikan prasarana, elemen kebersihan meliputi kemudahan asas seperti tandas dan bilik hotel juga perlu dititikberatkan kerana ia menyumbang kepada kepuasan serta daya tarikan pelancong.
"Mahu atau tidak, kebersihan perlu diberi keutamaan. Tiada guna kalau kita ada destinasi yang menarik tetapi aspek kebersihan dipandang mudah, maka saya rasa ia perlu diambil kira oleh pengusaha," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya merakamkan penghargaan atas pengiktirafan bandar raya ini sebagai satu daripada lapan destinasi pelancongan terbaik di benua Asia bagi tahun ini.
Loh berkata pengiktirafan itu secara dasarnya melibatkan usaha tidak berbelah bahagi daripada semua pihak yang menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.
"Saya harap pengiktirafan seumpama ini akan menaikkan semangat kita semua untuk terus melakar kejayaan selain memastikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dijadikan sebagai platform untuk meningkatkan lagi penjanaan pendapatan menerusi bidang pelancongan," katanya.
Sebelum ini menerusi laporan majalah Time Out, Ipoh menduduki tempat kelima daripada lapan destinasi pilihan yang menjadi daya tarikan pelancong.
Menurut laporan itu selain Ipoh, tujuh lagi destinasi pilihan pelancong ialah Sumba (Indonesia), Siargao (Filipina), Da Nang (Vietnam), Tainan (Taiwan), Osaka (Jepun), Nan (Thailand) dan Lijiang (China).
-- BERNAMA