PERSELISIHAN antara jiran mengenai pokok yang terletak di tengah laluan masuk dua buah rumah berubah menjadi tegang apabila salah seorang pemilik rumah di Waterthorpe, Sheffield, England bertindak menebang separuh rimbunan daun pokok tersebut.

Bahagian yang dipotong adalah bahagian yang berada di laluannya.

BBC melaporkan, Bharat Mistry, 56, berkata sebelum itu jirannya sering mengadu tentang burung merpati yang bersarang di situ hingga mengotorkan laluan masuk ke rumahnya.

Kedua-duanya berusaha untuk mencapai penyelesaian baik, sebelum salah seorang bertindak sendirian dengan menghubungi pihak berkuasa dan menebang separuh daripadanya.

Jirannya itu pernah meminta agar pokok itu ditebang pada Mac lalu, kata Mistry.


Beberapa perbincangan diadakan sama ada mahu menebang atau memasang jaring pada pokok untuk mengelakkan burung bersarang.

"Anda boleh bayangkan bagaimana marahnya kami apabila dia bertindak sendirian," katanya.

Pokok itu kini menjadi tarikan pelancong selepas gambarnya yang hanya tinggal separuh, dikongsi warga maya, dan ramai yang datang ke lokasi tersebut semata-mata untuk melihatnya.

Seorang lagi penduduk di kejiranan itu, Ann Wiles berkata dua keluarga itu sebelum ini punya hubungan yang baik dan sering menganjurkan parti anak-anak mereka bersama.

"Kawasan ini banyak burung merpati, mungkin beratus jumlahnya. Tinggal di kawasan yang jauh dari bandar, jadi kena terimalah," kata Wiles.

Sementara Mistry pula masih berharap pokok itu tidak ditebang sepenuhnya dan dapat kembali ke asal.

"Saya benar-benar sedih keadaan jadi sejauh ini," katanya.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !