ALOR SETAR: Akibat tidak berpuas hati, seorang lelaki dikatakan berang lalu bertindak memecah cermin kereta dan barangan perkakasan perniagaan milik jirannya di Taman Bee Bee Park, Simpang Kuala di sini.

Dalam kejadian pukul 2.09 petang Sabtu, lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana jirannya yang menjalankan perniagaan di sebelah rumah mengganggu ketenteramannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, berikutan itu, mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar sejurus selepas kejadian.

Susulan itu, polis telah menahan suspek sekitar pukul 7 malam di rumahnya.

"Polis turut merampas seketul bata berwarna kelabu yang dipercayai digunakan suspek untuk memecahkan cermin kereta.

"Turut dirampas sebatang besi kira-kira 75 sentimeter panjang yang digunakan suspek untuk memecah perkakas perniagaan milik pengadu.

"Siasatan awal kita percaya kejadian berlaku akibat tidak puas hati antara mereka namun kita masih siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Ahmad Shukri berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.