Tiga minggu selepas menjadi tumpuan media dalam mesyuarat di White House bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, penyanyi rap Kanye West pada Selasa mengumumkan untuk menjarakkan dirinya dari politik.

West, yang dilihat sebagai penyokong selebriti nombor satu Trump, juga mahu menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam sebuah kempen terbaharu, yang menggalakkan komuniti kulit hitam Amerika supaya keluar dari Parti Demokrat.

"Mata saya kini terbuka luas dan saya sedar bahawa saya telah dipergunakan untuk menyebarkan mesej yang saya sendiri tidak yakini.

“Saya kini mahu menjarakkan diri dari politik dan hanya fokus pada usaha kreatif,” ujar West menerusi Twitternya, tanpa menyatakan nama Trump.


Selebriti yang pernah dipalit isu gangguan bipolar itu juga berkata dia tidak magu lagi dikaitkan dengan sebarang kempen pada hujung minggu lalu, yang bertujuan menyeru golongan Amerika-Afrika supaya menyokong Republikan.

West, 41, dikaitkan dengan kempen itu selepas ketuanya, aktivis konservatif Candace Owens, berkata dia telah mereka logo pergerakan berkenaan pada topi dan baju-T.

West juga tidak mahu dikaitkan langsung dengan reka bentuk logo kempen tersebut.