Dua kanak-kanak berusia dua dan lima tahun telah dirogol dalam serangan berasingan di sini.

Dipercayai seorang daripada mangsa juga telah dirogol secara berkumpulan, kata polis pada Sabtu.

Susulan kejadian, kumpulan aktivis memberi amaran tentang "wabak" keganasan seksual yang kian menular di ibu negara India itu.

Menurut laporan, kanak-kanak berusia dua dan setengah tahun itu diculik dari sebuah majlis keagamaan di barat Delhi oleh dua lelaki pada Jumaat malam dan dirogol sebelum dibuang di sebuah taman berhampiran rumahnya, kata saudara-mara mangsa dan polis.

Dalam kejadian berasingan di kawasan lain di bandar itu, mangsa berusia lima tahun pula diajak ke rumah jiran dan dirogol tiga lelaki, kata pegawai polis kepada AFP.

Kedua-dua serangan itu muncul ketika New Delhi bergelut dengan kejadian serangan seksual terhadap wanita -- dan dalam beberapa kes baru-baru ini, kanak-kanak -- yang telah mencetuskan kemarahan di India dan di luar negara.

"Kami telah melancarkan gerakan memburu suspek. Setakat ini belum ada yang ditangkap," kata Pushpendra Kumar, Ketua Polis Delhi Barat, kepada AFP merujuk kepada kes melibatkan mangsa yang berusia dua tahun itu.

"Dua lelaki terlibat dalam penculikan kanak-kanak itu dan ujian mengesahkan berlaku tindakan rogol," kata Kumar, sambil menambah bahawa pemeriksaan lanjut dapat menunjukkan sama ada kedua-dua lelaki berkenaan merogol kanak-kanak itu.

Beliau berkata, mereka mendapati kanak-kanak dua tahun itu mengalami pendarahan dalaman beberapa jam selepas dia hilang.

Polis telah mengeluarkan rakaman CCTV dua lelaki menunggang motosikal dengan mangsa dalam usaha menangkap penjenayah terbabit.

Polis menahan tiga lelaki dalam kes mangsa yang berusia lima tahun, di mana ujian telah menunjukkan dia telah dirogol beberapa kali, selepas penduduk tempatan berjaya menangkap penyerang dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

"Sebahagian pakaiannya koyak dengan penuh tompokan darah. Beberapa penduduk tempatan menjumpainya dan dia memberitahu telah diserang secara seksual," kata seorang pegawai dari Balai Polis Anand Vihar di timur Delhi kepada AFP.

"Beberapa penduduk tempatan kemudian merempuh masuk ke dalam rumah dan menangkap mereka (penjenayah terbabit) sebelum menyerahkan mereka kepada kami," kata pegawai itu.

Kedua-dua kanak-kanak perempuan sedang menjalani rawatan perubatan dan dipercayai dalam keadaan stabil.