PENASIHAT Ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS) menyifatkan angka pengangguran negara itu berada pada tahap yang sangat mendukacitakan.

Larry Kudlow, yang juga pengerusi Majlis Ekonomi Negara, berkata demikian mengulas laporan Jabatan Buruh bahawa kadar pengangguran AS pada April ialah 14.7 peratus - paling buruk sejak krisis 'Great Depression'.

Tambahnya, kadar pengangguran pada Mei juga dijangka tinggi.

"Saya tidak mahu beri harapan palsu. Tetapi, dengan segala rendah diri saya katakan, angka ini sangat menyedihkan.

"Saya berpendapat, analisis ekonomi akan mencadangkan, pembukaan semula ekonomi yang selamat mampu memperbaiki keadaan," katanya pada Jumaat.

Untuk rekod, AS sebelum ini mencatatkan pertumbuhan pekerjaan untuk 113 bulan berturut turut.

Angka pengangguran untuk Februari berada pada sekitar 3.3 peratus dan Mac pada 4.4 peratus.



Sementara itu, Presiden Donald Trump berkata, angka pengangguran itu sudah dijangka.

“Ini bukanlah satu kejutan dan semua pihak sudah menjangkakan angka ini. Malah parti Demokrat juga tidak menyalahkan saya.

“Apa yang saya boleh lakukan adalah untuk memastikan pekerjaan diwujudkan kembali. Apa yang saya lakukan selama ini sebagai Presiden adalah untuk mewujudkan ekonomi yang terkuat di dunia. Ekonomi yang paling kukuh yang pernah kita saksikan selama ini.

“Kami terpaksa tutup ekonomi akibat COVID-19. Ini hanya sementara dan pekerjaan akan kembali dalam masa terdekat. Tahun depan kita akan saksikan tempoh yang sangat baik,” katanya.

Kongres AS menjangkakan ekonomi terbesar dunia itu akan kembali kukuh pada suku ketiga.