NEW YORK: Pada minggu lalu, jumlah pelarian domestik di Sudan meningkat lebih dua kali ganda kepada lebih 700,000, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Farhan Haq, berkata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi melaporkan 700,000 orang hilang tempat tinggal berbanding 340,000 yang direkodkan pada minggu lalu.

Mereka terpaksa menjadi pelarian akibat pertempuran terbaharu yang meletus pada 15 April. Sebelum pertempuran meletus, seramai 3.7 juta orang telah menjadi pelarian domestik, terutamanya di wilayah Darfur, lapor Xinhua.

Haq berkata Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan agensi itu memerlukan hampir 13,000 tan makanan untuk membantu kira-kira 384,000 penduduk di Gedaref, Gezira, Kassala dan White Nile.

Menurut WFP, setakat ini terdapat kira-kira 8,000 tan makanan di Port Sudan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan dua kapal yang mengangkut bekalan makanan dijangka berlabuh dalam beberapa hari lagi.

Sejak pengedaran makanan dimulakan semula minggu lalu, lebih 35,500 penduduk di Gedaref serta Kassala telah dibantu dan usaha sedang diteruskan untuk membantu mereka yang tinggal di White Nile.

-- BERNAMA