NEW YORK: Sekurang-kurangnya 450,000 kanak-kanak di Sudan terpaksa meninggalkan rumah mereka berikutan pertempuran yang berterusan, menurut UNICEF.

Dianggarkan 82,000 kanak-kanak telah melarikan diri ke negara jiran dan kira-kira 368,000 lagi hilang tempat tinggal, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Konflik di Sudan telah mengorbankan kanak-kanak di negara itu. Beribu-ribu telah mengalami peristiwa yang sangat trauma atau dihalau dari rumah mereka untuk mencari perlindungan," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell.

Sejak keganasan meletus pada 15 April, lebih 164,000 orang telah mencari perlindungan di Republik Afrika Tengah, Chad, Mesir, Ethiopia, Libya dan Sudan Selatan.

UNICEF turut memberi amaran bahawa musim hujan boleh meningkatkan risiko penyakit.

Lebih 550 orang terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam pertempuran antara dua jeneral yang bertelagah - ketua Angkatan Tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan dan komander pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), Mohammed Hamdan "Hemedti" Dagalo.

-- BERNAMA