Ringkasan AI
- Beberapa ahli komuniti luncur ais, termasuk atlet, jurulatih, dan ahli keluarga, terlibat dalam nahas helikopter dengan pesawat penumpang di Washington, DC, pada Rabu.
- US Figure Skating mengesahkan beberapa ahli komuniti mereka berada di dalam pesawat American Airlines yang bertembung dengan helikopter tentera Black Hawk, dan menzahirkan kesedihan serta takziah kepada keluarga mangsa.
- Pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas yang melibatkan pesawat PSA Airlines Bombardier CRJ700 dan helikopter Black Hawk, dengan sejumlah 18 mayat ditemukan di Sungai Potomac.
US Figure Skating, badan yang mengawal selia sukan ini di seluruh negara, mengesahkan beberapa ahli komuniti mereka berada di dalam pesawat American Airlines yang bertembung dengan sebuah helikopter pada Rabu malam.
Penumpang yang terlibat termasuk atlet, jurulatih, dan ahli keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang dari Kem Pembangunan Nasional, satu acara yang diadakan bersama Kejohanan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas, lapor CNN.
US Figure Skating, dalam kenyataan rasmi, menzahirkan kesedihan di atas tragedi dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, media Rusia, TASS, melaporkan bahawa dua peluncur ais yang merupakan juara dunia negara itu turut berada di dalam pesawat tersebut.
Terdahulu media melaporkan sejumlah 18 mayat ditemukan di Sungai Potomac susulan nahas pesawat penumpang American Airlines dengan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Kebangsaan Ronald Reagan Washington di Washington DC, pada Rabu.
Pesawat PSA Airlines Bombardier CRJ700 dilapor membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, manakala helikopter 'Black Hawk' Sikorsky H-60 milik Tentera Darat membawa tiga anak kapal.
Presiden AS Donald Trump dalam pada itu berkata tragedi itu tidak seharusnya berlaku dan boleh dielak, selain mempersoalkan tindakan menara kawalan dan helikopter terbabit.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas dan akan memberikan maklumat lanjut sebaik sahaja siasatan selesai.