JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menggesa negara-negara anggota ASEAN untuk menguatkan usaha kolektif mereka dalam memerangi jenayah rentas sempadan.

Berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-17 pada Isnin di wilayah Nusa Tenggara Timur, Jokowi menekankan kepentingan untuk membangunkan perkongsian berkekalan yang merangkumi perkongsian maklumat, penggunaan teknologi, serta peningkatan keupayaan dan profesionalisme dalam penguatkuasaan undang-undang.

Dalam menghadapi dinamik global, Jokowi menggesa ASEAN untuk tetap bersedia menghadapi cabaran, khususnya pembasmian jenayah rentas negara yang menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

Dengan ini, beliau menekankan keperluan kepada pendekatan yang boleh disesuaikan untuk memerangi jenayah berkenaan terutamanya dalam bidang keganasan, pemerdagangan manusia dan perdagangan narkotik haram, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Presiden juga menyatakan harapan pertemuan AMMTC akan menghasilkan agenda kerjasama yang komprehensif, menggabungkan langkah-langkah strategik yang bertujuan untuk memelihara rantau ASEAN yang selamat, tenang dan makmur.

-- BERNAMA