WASHINGTON: Bekas Presiden Jimmy Carter mencapai usia 100 tahun pada Selasa, menjadikannya bekas komander tertinggi Amerika Syarikat (AS) yang pertama hidup selama satu abad, lapor Agensi Anadolu.

Pencapaian sebagai presiden yang paling lama hidup menambah lagi senarai rekod untuk Carter, yang merupakan presiden Amerika Syarikat (AS) pertama lahir di hospital dan graduan Akademi Tentera Laut AS pertama serta satu-satunya yang menjadi presiden.

Demokrat dari negeri Georgia yang juga seorang petani kacang tanah ini merupakan presiden ketiga menerima Hadiah Nobel Keamanan, yang dianugerahkan kepadanya kerana usaha menamatkan konflik antarabangsa secara damai.

Carter kekal aktif sepanjang separuh pertama usia 90-an, bekerja dengan organisasi perumahan Habitat for Humanity dan pertubuhan bukan kerajaannya, Carter Center. Beliau sering dilihat dalam acara "pembinaan rumah" Habitat sepanjang tahun 2010-an, menyaksikan beliau berkumpul bersama sukarelawan dan staf.

"Carter menjadi lambang kepimpinan dan belas kasihan, menginspirasi jutaan orang di seluruh dunia," kata Carter Center dalam satu kenyataan.

"Legasi Presiden Carter terus memberi inspirasi kepada harapan dan kemajuan di seluruh dunia. Kehidupannya selama satu abad adalah bukti kepada kuasa perkhidmatan dan Carter Center adalah peringatan berterusan terhadap komitmennya terhadap keamanan, kesihatan dan hak asasi manusia," tambah kenyataan itu.

Carter berada dalam penjagaan hospis selama hampir dua tahun, melawan jangkaan ramai yang menyangka beliau akan pergi dalam masa terdekat.

Presiden AS Joe Biden, yang 19 tahun lebih muda daripada Carter, mengarahkan pemasangan pameran di North Lawn Rumah Putih bagi meraikan pencapaian Carter. Pameran itu akan kekal di lokasi itu sepanjang hari.

Carter dilahirkan pada 1 Okt 1924, di Plains, Georgia dan kekal sebagai ahli komuniti yang aktif sehingga beliau ditempatkan dalam penjagaan hospis 20 bulan lepas. Isterinya, Rosalynn Carter, meninggal dunia pada November 2023.

-- BERNAMA