Presiden Joe Biden mengisytiharkan tarikh berkenaan sebagai Hari Berkabung Negara bagi menghormati Carter, yang digambarkannya sebagai seorang "lelaki berprinsip, jujur dan rendah hati."
Carter menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Plains, Georgia, dikelilingi ahli keluarga selepas berada dalam penjagaan hospis sejak 18 Feb 2023, menurut Carter Center.
"Jimmy Carter menjalani kehidupan yang diukur bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakannya," kata Biden dalam ucapan yang disiarkan secara langsung untuk memperingati pemergian pemimpin itu.
Beliau memuji legasi Carter sebagai pejuang keamanan, hak sivil, hak asasi manusia, dan demokrasi global, termasuk usaha gigihnya membina rumah untuk gelandangan.
"Hari ini, Amerika dan dunia kehilangan seorang pemimpin yang luar biasa.
"Beliau adalah seorang negarawan dan dermawan, dan Jill serta saya kehilangan seorang sahabat rapat," kata Biden.
Biden turut menggambarkan hubungan peribadinya dengan Carter yang terjalin lebih 50 tahun, termasuk sokongan Carter terhadap kempen presidennya dan dorongan moral ketika anak lelaki Biden, Beau meninggal dunia.
Sebagai tanda penghormatan, Biden turut menandatangani perintah eksekutif pada Isnin yang mengarahkan semua jabatan dan agensi persekutuan ditutup pada tarikh itu.
Sementara itu, bendera di bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada mendiang Carter.
Selain pengebumian negara, beberapa upacara awam turut dirancang di Atlanta dan Washington sebelum upacara pengebumian persendirian di kampung halamannya di Plains, Georgia.
-- BERNAMA