BERLIN:Jerman mengumumkan telah diberi jaminan bahawa Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) akan bersetuju dengan vaksin koronavirus pada 23 Disember ini.

Menteri Kesihatannya, Jens Spahn berkata beliau menyambut baik berita EMA akan menyelesaikan proses persetujuan terhadap vaksin Pfizer-Biontech seminggu lebih awal.

"Ini berita baik bahawa kelulusan dapat diberikan pada 23 Disember, seperti dimaklumkan hari ini, jika data yang diproses tersedia.

"Kami optimis bahawa kelulusan akan diberikan pada 23 Disember yang mana adalah berita baik untuk seluruh Kesatuan Eropah.

"Kami mahukan pemeriksaan menyeluruh, kelulusan yang teratur dan pada masa yang sama pemeriksaan yang cepat.

"Pihak berkuasa kebangsaan kita, seperti yang lain, menyokong pihak berkuasa Eropah dengan sebaik mungkin.

"Matlamat kita adalah kelulusan sebelum Krismas.

"Kita mahu memulakan vaksinasi tahun ini di Jerman, sebelum akhir tahun,” kata Spahn.

Vaksin baharu yang dibangunkan oleh Biontech Jerman dan  Pfizer sudah digunakan di Britain, Amerika Syarikat, Kanada dan negara-negara lain.

Namun, Jerman tidak dapat memulakan program vaksinasi kerana masih menunggu persetujuan oleh EMA, yang menilai ubat dan vaksin untuk 27 negara Eropah.

Spahn turut menyatakan menerima pengesahan daripada EMA berkenaan perkara tersebut.

Sebelum ini, Spahn sering mendesak EMA untuk meluluskan segera penggunaan vaksin berkenaan.

Tambah beliau, Jerman telah menubuhkan sekitar 440 pusat vaksinasi dan menggembleng 10,000 doktor dan staf perubatan untuk memulakan pemberian vaksin secara besar-besaran.