NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy akan berucap kepada pemimpin dunia yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Perdana Menteri Iran Ebrahim Raisi dan Canselor Jerman Olaf Scholz juga antara yang akan berucap pada Perbahasan Umum ke-78 di New York pada Selasa.

Pada Isnin, persidangan bermula dengan perbahasan mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) PBB, dan mulai Selasa, lebih 140 perdana menteri dan ketua negara akan memberi ucapan pada Perbahasan Umum.

Zelenskyy yang menghadiri UNGA secara peribadi buat kali pertama sejak permulaan perang, berkemungkinan akan menarik perhatian ramai - selain beberapa mesyuarat sampingan yang akan dihadirinya.

Perang Rusia ke atas Ukraine yang bermula pada Februari 2022, berkemungkinan menjadi topik utama kebanyakan ucapan pemimpin.

Zelenskyy tiba di New York pada petang Isnin bersama isterinya, Olena Zelenska.

Di media sosialnya, Zalensky berkata beliau akan "membentangkan cadangan konkrit kepada negara anggota PBB tentang cara memperkukuh prinsip integriti wilayah dan meningkatkan keupayaan PBB untuk menggagalkan dan menghentikan pencerobohan."

Beliau juga menyatakan akan bertemu Biden dan anggota kongres serta kepimpinan tentera di Washington akhir minggu ini.

Seperti tahun lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin tidak menghadiri UNGA kali ini dan diwakili Menteri Luarnya Sergei Lavrov.

Pada Mac, Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague mengeluarkan waran tangkap ke atas Putin atas dakwaan jenayah perang di Ukraine.

Sejak itu, pemimpin Rusia itu enggan mengembara ke luar negara, termasuk tidak menghadiri mesyuarat G20 di India dan BRICS di Afrika Selatan.

-- BERNAMA