NEW YORK: Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengehadkan kuasa veto yang tidak terkawal kerana ia berupaya menghalang usaha damai khususnya dalam melibatkan isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kuasa veto tidak seharusnya digunakan untuk menghalang resolusi yang bertujuan menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam yang tidak bersalah.

“Di mana-mana sahaja, soalan yang sama berulang; adakah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terlalu rapuh untuk diperbetulkan?

“Jawapannya tidak, kerana sebenarnya ada jalan dan satu-satunya cara tersebut adalah memperbetulkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto mesti dihadkan,” tegasnya.

Mohamad berkata demikian ketika mewakili Malaysia dalam debat Majlis Keselamatan PBB, bertemakan “Leadership for Peace: United in Respect of the UN Charter, In Search of a Secure Future” sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Agung PBB (UNGA) ke-79, di sini, pada Rabu.

Hadir sama dalam perdebatan tersebut ialah wakil Slovenia ke Majlis Keselamatan PBB, Samuel Zbogar yang juga Presiden UNSC untuk bulan September.

Selain itu, Mohamad juga menggesa Majlis Keselamatan untuk menyokong sepenuhnya pelaksanaan Resolusi ES-10/24, yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung pada 18 September lalu.

Beliau menyifatkan resolusi itu sebagai langkah penting ke arah menegakkan keadilan untuk Palestin.

Pada masa sama resolusi berkenaan menekankan bahawa Majlis Keselamatan tidak boleh membenarkan ia terjejas oleh penggunaan kuasa veto.

“Kami menuntut agar Majlis ini menyokong pelaksanaan penuh resolusi tersebut,” ujarnya lagi.

Selain memfokuskan isu Palestin, Mohamad juga menyuarakan keprihatinan Malaysia berhubung konflik di selatan Lubnan yang ketika telah mengorbankan lebih 500 nyawa.

Perhimpunan Agung PBB telah menerima pakai resolusi A/RES/ES-10/24, menuntut agar Israel menghentikan kependudukan haramnya di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan, selaras dengan pendapat dan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Dengan 124 negara menyokong, undian tersebut mencerminkan sokongan antarabangsa yang kuat untuk keadilan dan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, 14 negara menentang resolusi tersebut, sementara 43 negara berkecuali.