Israel akhirnya bersetuju menghentikan penggunaan alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al-Aqsa, tindakan yang mencetuskan bantahan umat Islam dan masyarakat antarabangsa serta menyebabkan konfrontasi berdarah sejak beberapa hari yang lalu.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata kabinet menerima cadangan untuk menggantikan penggunaan pengesan logam dengan alternatif lain, termasuk penggunaan peralatan berteknologi tinggi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.

Menurut kenyataan itu lagi, polis Israel akan menambah anggotanya bagi mengawal Masjid Al-Aqsa yang dikenali sebagai Temple Mount di kalangan penganut Yahudi, serta mengambil tindakan yang 'bersesuaian' dalam memastikan keselamatan di tapak suci itu, lapor agensi berita Xinhua.

Keputusan tersebut diumumkan rejim Zionis selepas mesyuarat kabinet yang berlarutan selama beberapa jam.

Pihak rejim memasang pengesan logam selepas kes tembakan pada 14 Julai lalu yang menyebabkan anggota polisnya terbunuh.

Pemasangan alat pengesan itu bagaimanapun menimbulkan bantahan dan kemudiannya bertukar menjadi rusuhan berdarah yang menyebabkan kira-kira 10 terbunuh.

Masjid Al-Aqsa menjadi paksi konflik Israel-Palestin sejak penjajahan Israel di Bandar Lama Baitulmaqdis pada 1967.

Penduduk Palestin menganggap tindakan memasang pengesan logam itu sebagai helah Israel untuk meningkatkan penguasaan Yahudi terhadap masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

-- BERNAMA