JAKARTA: Pejabat Perdagangan dan Ekonomi Indonesia (IETO) Taipei menyediakan enam pusat perlindungan untuk rakyat dan tenaga kerja Indonesia di Taiwan yang menghadapi masalah.

Pusat perlindungan itu terletak di Taoyuan, Chungli, Kaohsiung, dan Taichung.

Selain menjadi pusat perlindungan untuk tenaga kerja yang bermasalah, pusat di Kaohsiung dan Taoyuan turut menempatkan pemegang visa yang tinggal melebihi tempoh dan akan pulang secara sukarela.

Dalam satu kenyataan, Ketua IETO Taipei, Budi Santoso berkata pusat itu membantu tenaga kerja yang mengalami masalah dan mereka harus kembali kepada majikan masing-masing setelah masalah selesai.

Pusat di Taichung dirasmikan pada 6 Ogos dalam usaha untuk memperluas perlindungan kepada 30,000 tenaga kerja Indonesia di bandar itu.

Jumlah tenaga kerja Indonesia di seluruh Taiwan mencecah 240,000 orang setakat ini.

Perkara berkaitan memperkasakan perlindungan tenaga kerja Indonesia di luar negara sering menjadi topik utama perbincangan kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan.

Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, secara konsisten menikmati kiriman wang daripada tenaga kerja di luar negara dan digelar sebagai 'Wira Kiriman Wang' atau 'Remittance Heroes'.

-- BERNAMA