Pesuruhjaya Joel Anthony Viado berkata warga Amerika Syarikat (AS) Joseph John Graham, 76, dan warga Britain Ryan Ashley, 50, ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh unit pencarian buruan BI di Pampanga dan Taguig pada Rabu.
"Mereka akan segera diusir dan akan diletakkan dalam senarai hitam kami, melarang mereka daripada memasuki semula Filipina," menurutnya dalam satu kenyataan.
Graham ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Clark di Angeles City. Dia dikehendaki oleh mahkamah kehakiman ke-19 Indian River County, Florida di mana dia didakwa dengan 55 pertuduhan pornografi kanak-kanak.
Siasatan didakwa menunjukkan bahawa pelbagai bahan penderaan seksual kanak-kanak, termasuk gambar bogel kanak-kanak Filipina dengan ada yang berumur seawal tiga tahun, ditemui pada telefon bimbit Graham yang kerap melancong ke Filipina.
Dia menghadapi pertuduhan pengusiran dengan BI tetapi akan kekal di bawah tahanan fizikal Biro Penyiasatan Kebangsaan kerana pertuduhan lanjut sedang dirancang terhadapnya.
Sementara itu, Ashley ditahan oleh kakitangan pejabat BI SM Aura di Taguig ketika cuba melanjutkan visa pelancongnya.
Dia adalah pesalah jenayah seksual berdaftar yang disabitkan kesalahan di United Kingdom pada 1994 dan 2002 atas pelbagai kesalahan seksual, termasuk serangan tidak senonoh terhadap kanak-kanak bawah umur.
Warga asing itu ditahan sebagai sebahagian daripada kempen #Shieldkids BI yang memberi tumpuan kepada pengusiran pesalah seksual kanak-kanak dan pelancong seks.
-- BERNAMA