WASHINGTON: Jika Taiwan diambil alih sepenuhnya oleh China, Amerika Syarikat (AS) akan kehilangan kepimpinan globalnya.

Ini kerana Washington sangat memerlukan cip mikro komputer yang dikeluarkan Taiwan sekurang-kurangnya bagi dekad akan datang, untuk mengejar Beijing dalam teknologi, dalam tiga bidang penting iaitu angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI) dan senjata hipersonik.

"Jika kita kehilangan Taiwan, AS akan hilang kepimpinan global sekurang-kurangnya 100 tahun dalam tiga perlumbaan teknologi utama... angkasa lepas, AI dan hipersonik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Hadrian Christopher Power kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan AS pada Selasa.

Power berkata ia akan mengambil sekurang-kurangnya satu dekad lagi untuk industri domestik AS membina asas yang diperlukan bagi menghasilkan mikrocip yang kini diimport dari Taiwan, lapor Sputnik.

"Tiada siapa yang nampaknya mempunyai rancangan yang berdaya maju untuk mengejarnya. Orang ramai tidak menyedarinya. 

"Sembilan puluh lima peratus daripada semua kilang di pangkalan perindustrian pertahanan teknologi tinggi AS sedang ditutup sedangkan negara memerlukan perkakasan itu," kata Power.

Sektor berteknologi tinggi memerlukan campur tangan serius dan cepat oleh kerajaan AS dalam bentuk kemasukan segera berjuta-juta pekerja mahir dalam bidang metalurgi, kejuruteraan dan kimpalan, terutama dari India dan dari negara bersekutu "five eye" United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand, tambah Power.

-BERNAMA-SPUTNIK