Seorang petugas Zoo Palm Beach, Florida, maut selepas diserang seekor Harimau Malaya dalam jagaannya, pada Jumaat.

Stacey Konwiser, yang merupakan ketua penjaga harimau di zoo tersebut, cedera parah selepas diserang di dalam sangkar ketika sedang bersedia untuk satu sesi bual bicara yang dinamakan 'The Tiger Talk' bersama pengunjung.

The Sun Sentinel melaporkan harimau itu terpaksa dikepung dan ditenangkan untuk membolehkan pasukan paramedik mendekati dan merawat Konwiser.


Wanita berusia 38 tahun itu kemudiannya diterbangkan ke Pusat Perubatan St.Mary, sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Zoo itu dilaporkan ditutup sehingga Ahad ini.

Jurucakap zoo berkenaan, Naki Carter memberitahu, Konwiser hanya menjalankan tugasan rutin yang dilakukan setiap hari.

Siasatan sedang berjalan untuk mengenal pasti punca mengapa haiwan itu tiba-tiba bertindak ganas.

Konwiser sudah tiga tahun bertugas di zoo tersebut, yang menempatkan empat ekor Harimau Malaya.

Carian di laman sosial mendapati mendiang sangat menyayangi haiwan khususnya harimau.

Status Facebook Konwiser tentang haiwan liar ini menggambarkan betapa dia sangat menyayangi harimau.
Pada satu foto harimau, yang dipercayai dari spesis Harimau Malaya, yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya awal tahun ini, Konwiser meletakkan deskripsi 'lelaki terbaharu dalam hidup saya'.