Sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Geneva, mengambil inisiatif mengajar asas undang-undang antarabangsa kepada Anggota Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Bengkel bertajuk ‘Pejuang Bukan Pembunuh’ itu dianjur Geneva Call bermatlamat meningkatkan kefahaman pemberontak Syria terhadap piawaian antarabangsa berhubung konflik.

Melalui cara itu, mereka yang terlibat di dalam konflik bersenjata memahami apa yang dibenarkan dan yang dilarang dalam peperangan.

Bengkel itu berlangsung di bandar Gaziantep berhampiran sempadan Turki-Syria.

Menurut anggota FSA yang mengambil bahagian, pendedahan berkenaan sangat berguna kepada pemberontak terutama apabila regim Bashar Assad digulingkan.

Ia merangkumi kaedah mendekati rakyat apabila kerajaan baru dibentuk selain tidak mengulangi apa yang dilakukan pentadbiran Bashar kepada rakyat Syria.

Pendedahan berkenaan berjaya meningkatkan kefahaman pemberontak terhadap tanggungjawab mereka ketika konflik terutama mengelak melakukan keganasan terhadap orang awam.