Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda California, Amerika Syarikat, menyebabkan keretakan di beberapa buah bangunan serta jalan raya dan kebakaran sehingga mendatangkan kecederaan kepada orang ramai, lapor portal NZ Herald.

Kejadian itu yang mula dikesan pada Khamis dengan ukuran 6.4 magnitud di Gurun Mojave merupakan yang terbesar pernah berlaku di selatan California sejak 20 tahun lalu diikuti dengan beberapa siri gegaran kecil.

Gempa itu dilaporkan berlaku pada pukul 8.18 malam waktu tempatan, 17 kilometer dari Ridgecrest.

Lebih teruk lagi apabila gegaran itu turut dirasai di bahagian utara termasuk di Sacramento dan bahagian timur di Las Vegas serta selatan iaitu di Mexico.

Magnitud awal yang dianggarkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) adalah antara 6.9 hingga 7.1.

Sementara itu, di Los Angeles, bangunan pencakar langit dilaporkan bergoyang dan bergegar sekitar 30 saat.

Dalam pada itu, Gabenor California, Gavin Newsom menyatakan rasa sedih atas kejadian yang berlaku dan berjanji akan terus membantu menyalurkan bantuan kepada yang terlibat.

“Saya sudah menghantar pasukan penyelamat untuk bantuan kecemasan dan rawatan.

“Pusat Operasi di Mather dan mereka akan bekerja rapat dengan agensi-agensi serta pihak terlibat untuk memastikan keadaan terkawal,” katanya menerusi Twitter NBC News.


Dalam pada itu, pengarah komunikasi bahagian kebakaran daerah Kern, Megan Person berkata, terdapat banyak laporan mangsa yang cedera serta kebakaran, namun dia masih belum mempunyai butiran lanjut mengenainya.

Selain membuka pusat pemindahan, terdapat beberapa batang jalan yang ditutup untuk laluan termasuk kiriman gambar orang ramai yang menunjukkan jalan raya 'tenggelam'.