Menurut Agensi Anadolu (AA), kempen itu bermula pada Sabtu di Khan Younis untuk memberikan vaksin kepada lebih 90 peratus kanak-kanak di seluruh Wilayah Gaza menjelang 12 Sept ini.
Usaha pemvaksinan ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dimulakan di Hospital Nasser susulan satu sidang media bersama oleh organisasi berkenaan.
Majdi Duhair, Ketua Jawatankuasa Teknikal yang menyelia usaha pemvaksinan itu berkata kempen itu akan menumpukan tengah Gaza dari 1 hingga 4 Sept, diikuti Khan Younis dari 5 hingga 9 Sept dan akan berakhir di sini dan wilayah utara dari 9 hingga 12 Sept.
Kempen ini dilaksanakan di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang serius di Gaza dengan konflik dan sekatan yang berterusan mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih dan bekalan ubat-ubatan yang akut.
Keadaan yang semakin buruk telah menimbulkan kebimbangan tentang potensi wabak penyakit, termasuk polio.
Desakan terhadap kempen ini ditekankan berikutan pengesahan kes polio pertama di Gaza yang merupakan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan, bulan lepas.
Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa supaya satu gencatan senjata tujuh hari dilaksanakan bagi membenarkan pemvaksinan 640,000 kanak-kanak, satu permintaan yang disokong UNRWA.
Kempen pemvaksinan polio ini berjalan di sebalik serangan berterusan tentera Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 40,600 warga Palestin dan mencederakan lebih daripada 93,800 orang sejak 7 Okt.
-- BERNAMA