Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), kempen yang akan bermula pada 1 September ini akan dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNICEF dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Inisiatif itu bertujuan untuk memberikan dua dos vaksin polio kepada lebih 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di Gaza, sebagai usaha untuk menghentikan penularan virus dan mengelakkan wabak yang lebih meluas di rantau berkenaan.
Kempen vaksinasi itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di tengah Gaza sebelum diteruskan ke selatan dan utara Gaza.
Setiap fasa akan berlangsung selama tiga hari, dilakukan semasa tempoh jeda kemanusiaan di kawasan tertentu untuk memastikan kanak-kanak dan keluarga mereka dapat mengakses kemudahan kesihatan serta membolehkan pekerja komuniti mencapai mereka yang memerlukan.
Sebagai persediaan untuk kempen itu, kira-kira 1.26 juta dos vaksin polio telah dihantar ke Gaza, dengan tambahan 400,000 dos dijangka tiba tidak lama lagi.
-- BERNAMA