Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), UNRWA dalam kenyataan melalui X menyatakan, "walaupun dengan peningkatan perang dan cabaran yang berterusan, pusingan kedua kempen imunisasi polio telah dilancarkan Isnin di kawasan tengah Gaza."
"Vaksin terbaik untuk kanak-kanak ialah gencatan senjata dan keamanan," katanya.
Menteri Kesihatan, Majed Abu Ramadan pada Isnin mengumumkan pelancaran pusingan kedua kempen pemvaksinan polio di Semenanjung Gaza untuk kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.
Beliau menjelaskan, kempen pemvaksinan itu akan terdiri daripada tiga peringkat, yang pertama di kawasan tengah di Deir al-Balah dan akan berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 17 Oktober dan boleh dilanjutkan untuk satu hari tambahan.
Beliau turut menyatakan dos kedua vaksin polio oral (OPV) akan diberikan, sebagai tambahan kepada vitamin A yang membantu meningkatkan imuniti kanak-kanak, melawan jangkitan, serta menyumbang kepada peningkatan penglihatan dan pertumbuhan yang sihat.
Kempen itu menyasarkan untuk memvaksin 591,700 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun, dan pasukan tetap serta bergerak akan dikerahkan untuk melengkapkan kempen itu. - BERNAMA