Gajah dikatakan antara haiwan paling bijak dan sensitif di dunia, dan video yang tular di media sosial ini membuktikan perkara itu.
Menurut laporan The Indian Express, Kunnakkad Damodaran Nair atau lebih dikenali Omanachettan, 74 tahun, meninggal dunia minggu lepas akibat kanser.
Upacara pengebumiannya yang diadakan pada Khamis, turut dikunjungi seekor gajah di bawah jagaannya selama 25 tahun.
Video berkenaan yang dikongsi oleh seorang pegawai Jabatan Perhutanan India, Parveen Kaswan tular di media sosial dan sehingga kini telah mencatat sebanyak 28,000 tontonan.
Dalam video berkenaan gajah yang diberi nama Brahmadathan itu dilihat tiba di perkarangan kuil yang menempatkan mayat Omanachettan.
Brahmadathan berhenti di hadapan mayat penjaganya itu sambil memanjangkan belalainya sebelum meninggalkan kawasan tersebut.