Berucap kepada duta Kesatuan Eropah (EU) di Athens, Stournaras berkata cadangan tarif 10 peratus ke atas semua import dari Zon Euro, ditambah dengan ketidaktentuan yang berterusan dalam hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-EU, boleh mengurangkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau itu sehingga 0.5 mata peratus dalam tempoh setahun.
Amaran itu dibuat susulan laporan bahasa Presiden AS Donald Trump mencadangkan tarif timbal balik ke atas rakan dagang utama, termasuk EU.
Stournaras juga meramalkan yang Bank Pusat Eropah (ECB) mampu menurunkan kadar faedah utamanya kepada 2 peratus menjelang akhir tahun ini sebagai tindak balas kepada cabaran ekonomi.
"Zon Euro berisiko kehilangan pengaruh ekonomi globalnya, jika ia belum sekalipun. Kami bergelut untuk bersaing dengan gergasi teknologi AS dan ekonomi kami kekal statik, menghadapi kekangan fiskal," katanya.
Anggaran awal pertumbuhan KDNK tahunan 2024, berdasarkan data suku tahunan yang diselaraskan secara bermusim dan kalendar yang diterbitkan oleh Eurostat, menunjukkan peningkatan 0.7 peratus di zon euro dan 0.8 peratus di EU. Sementara itu, ekonomi AS berkembang sebanyak 2.8 peratus tahun lepas, menurut Jabatan Perdagangan AS.
--BERNAMA-XINHUA
