GEORGIA: Sekurang-kurangnya empat individu cedera dalam satu letupan gas di sebuah bangunan pangsapuri di Atlanta, Amerika Syarikat pada Ahad.

Menurut pihak berkuasa, letupan di bangunan tiga tingkat itu menyebabkan ia tidak menjadi stabil.

Timbalan Ketua Bomba Dunwoody, Melvin Carter berkata, punca kejadian masih disiasat namun Syarikat Altanta Gas memaklumkan ada menerima panggilan daripada salah seorang penghuni tentang kebocoran gas sebelum kejadian.

Mangsa cedera dalam insiden berkenaan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurut Carter, pihaknya telah melakukan pencarian di 90 peratus bangunan tersebut bagi mengesan mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Setakat ini dua individu dilaporkan masih hilang.

Polis Dunwoody turut menggesa penduduk di sekitar kawasan pangsapuri berkenaan untuk kekal di rumah.

"Kawasan berkenaan telah dikepung dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam catatan di akaun rasmi Twitter.