KENTUCKY: Dua individu maut manakala 10 lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah kilang membuat pewarna makanan di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Menurut kenyataan dikeluarkan Givaudan Sense Colour pada Rabu, letupan berkenaan menyebabkan sebahagian daripada bangunan kilang runtuh dengan pekerja masih di dalam.

Kenyataan media oleh kilang tersebut menzahirkan rasa simpati dan turut berduka cita atas pemergian pekerja yang terkorban dan cedera.

Ketua Balai Bomba Louisville, Brian O'Neill berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum beberapa jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa memakan masa beberapa jam akibat struktur bangunan yang tidak stabil namun kesemuanya berjaya ditemui.

Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.