Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian pada 5.30 pagi, 5 Nov lepas, kesemua suspek berusia 26, 28, dan 38 tahun itu menaiki trak pikap jenis Nissan Navara yang dikesan oleh anggota cawangan kereta peronda (MPV) dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam kejadian curi kabel TM.
Beliau berkata ketika kenderaan peronda polis cuba menghampiri kenderaan suspek, trak pikap itu terus memecut ke arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran Peringgit di sini sebelum keluar ke arah Tol Ayer Keroh dan menuju ke Lebuhraya PLUS Pedas-Linggi arah utara.
"Sepanjang usaha mengejar suspek, kenderaan mereka telah melanggar dua kenderaan awam di Bukit Palah, Melaka dan enam kenderaan lain di lebuh raya tersebut sebelum terbabas di lokasi kejadian.
"Semasa tangkapan dibuat, berlaku pergelutan dan seroang daripada mereka berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sebanyak 148 batang kabel TM selain pelbagai peralatan untuk mencuri kabel dan semakan mendapati kesemua suspek mempunyai lebih daripada 20 rekod jenayah lampau melibatkan kes samun, pecah rumah, kecurian dan dadah.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Christopher berkata polis sedang mengenal pasti dan memburu suspek yang berjaya meloloskan diri dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah boleh melaporkannya di talian 06-2842222.
-- BERNAMA