Ecuador memutuskan sistem komunikasi pengasas Wikileaks, Julian Assange, selepas dia secara terbuka membincangkan beberapa isu sensitif di platform media sosial.

Keputusan itu dibuat Ecuador kerana tindakan Assange dianggap boleh menjejaskan hubungan diplomatik negara itu.

Assange berlindung di kedutaan Ecuador di London bermula Jun 2012, sejak dia memasuki bangunan berkenaan untuk mengelak diekstradisi ke Sweden, bagi berdepan dakwaan jenayah seksual yang dinafikannya.

Assange dipercayai dalam sesi di platform media sosialnya, bercakap mengenai krisis diplomatik antara London dan Moscow, serta mengenai kemerdekaan wilayah Catalonia, walaupun sudah diarahkan oleh Ecuador untuk mengelak menyentuh tentang isu kontroversi membabitkan politik.

"Tindakan ini diambil kerana kegagalan Assange untuk mematuhi komitmen bertulis yang dipersetujui pada 2017, di mana beliau diwajibkan untuk tidak mengeluarkan mesej yang boleh disifatkan campur tangan dalam hal negara lain," menurut kenyataan yang dikeluarkan kedutaan Ecuador.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menamakan secara lanjut sistem komunikasi yang digantung.

Pada 2016, kedutaan Ecuador menggantung akses internet Assange, kerana mengeluarkan komen berhubung hal domestik Amerika Syarikat.

Presiden Ecuador, Lenin Moreno sebelum ini menyifatkan Assange sebagai duri dalam daging, yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Assange bagaimanapun diberi kewarganegaraan Ecuador Disember tahun lalu.

Siasatan ke atas Assange sudah digugurkan kerajaan Sweden tahun lalu, namun dia masih berdepan kemungkinan ditahan sekiranya dia meninggalkan kawasan kedutaan Ecuador, kerana mencabuli perintah jaminan.

Assange mempertahankan dirinya diburu kerana menerbitkan rahsia tentera dan polisi luar kerajaan Amerika Syarikat.