MANILA: Bekas Presiden Rodrigo Duterte tidak menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Quad House mengenai pembunuhan di luar bidang kehakiman (EJK) yang dikaitkan dengan kempen antidadahnya, pada Selasa atas alasan kesihatan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Peguam Duterte, Martin Delgra III, memaklumkan kepada panel bahawa bekas presiden itu tidak dapat menghadiri pendengaran itu kerana kurang sihat.

"Walaupun beliau berhasrat untuk hadir, anak guam saya dengan penuh hormat menyatakan bahawa beliau tidak dapat hadir pada pendengaran awam yang dijadualkan pada 22 Oktober 2024. Selain daripada notis pendek yang diberikan, anak guam saya baru tiba di Davao dari Metro Manila pada 17 Oktober 2024.

"Mempertimbangkan usia beliau yang lanjut dan pelbagai komitmen yang perlu dilakukan baru-baru ini, beliau kini kurang sihat dan memerlukan rehat. Oleh itu, anak guam saya dengan hormat memohon untuk menangguhkan kehadirannya di hadapan Jawatankuasa yang mulia," kata Delgra dalam suratnya.

Delgra turut memberi jaminan bahawa Duterte bersedia menghadiri sesi lain, mencadangkan tarikh selepas 1 November.

Pengerusi Jawatankuasa Utama, Wakil Surigao del Norte, Robert Ace Barbers berkata beliau telah menulis surat kepada bekas presiden itu pada 18 Oktober untuk menjemputnya menghadiri siasatan itu "bagi memberikan pandangan berharga dan menjelaskan isu-isu yang dibincangkan terutamanya mengenai pembunuhan di luar bidang kehakiman."

Jawatankuasa itu menjemput Duterte untuk memberi keterangan yang mengaitkannya dengan pembunuhan tiga ketua dadah Cina utama di dalam penjara Davao pada Ogos 2016, serta dakwaan kewujudan sistem ganjaran EJK yang membayar sehingga satu juta Peso Filipina untuk setiap suspek dadah berprofil tinggi yang dibunuh.

Lt. Kol. (B) Jovie Espenido mendakwa dana untuk sistem ganjaran itu diperoleh daripada "jueteng" (judi haram) dan aktiviti perjudian haram lain, pengendali perjudian luar pesisir Filipina (POGOs), dana perisikan, serta hasil daripada operasi loteri pekan kecil Pejabat Loteri Amal Filipina.

Bekas Senator Leila de Lima, yang menghadiri pendengaran pada Selasa sebagai saksi menyatakan harapan Duterte akan pulih dan bersedia untuk berhadapan dengan jawatankuasa itu.

"Saya harap beliau segera sembuh untuk berhadapan dengan situasi ini," kata De Lima kepada pemberita.

De Lima, pengkritik lantang Duterte, dipenjarakan semasa pentadbirannya atas tuduhan berkaitan dadah yang kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah.

-- BERNAMA