Setiap hari, bekas atlet kayuh basikal Olimpik Muhammad Ashiq merenung trofi yang pernah dimenanginya sewaktu zaman gemilang mewakili negaranya Pakistan dalam acara lumba basikal di Olimpik berdekad lalu.

“Mungkin kebanyakan orang menyangka saya sudah mati.

“Saya teringat yang saya pernah berjabat tangan dengan bekas perdana menteri Pakistan, presiden, para ketua eksekutif. KIni mereka semua lupakan saya. Sukar untuk saya percaya,” keluhnya.

Lelaki yang pernah bertanding di Olimpik pada tahun 1960 dan 1964 itu kini hanya menyara diri sebagai pemandu beca roda tiga di Lahore.

Dia memulakan kariernya sebagai petinju, sebelum beralih ke acara lumba basikal pada tahun 1950-an kerana isterinya sering menyuarakan kebimbangan tentang kecederaannya.

Muhammad juga pernah bertanding di Rome pada 1960 dan di Tokyo pada 1964. Walaupun tidak memenangi sebarang pingat, dia tetap disanjung sebagai wira Pakistan waktu itu.

“Saya rasa gembira dan sangat bertuah dapat mewakili Pakistan ke Olimpik,” ujarnya kepada AFP.

Namun, apabila kerjaya dalam lumba basikal berakhir, begitu juga dengan tuahnya.

Muhammad kemudian menceburi bidang perhubungan awam namun terpaksa meninggalkannya pada tahun 1977 atas sebab-sebab kesihatan. Dia pernah memandu teksi dan van, serta terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan.

Sejak enam tahun lalu, dia hanya memandu beca, dengan membawa penumpang ke destinasi di celah-celah jalanan sibuk Lahore, hanya untuk menerima upah tambang yang tidak seberapa.

Dia tinggal di rumah seluas 450 kaki persegi dengan hutang yang masih berbaki 1 juta rupee (RM38,700) – satu jumlah yang sangat membebankan memandangkan dia hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira 400 rupee (RM15) sehari.

Isterinya telah meninggal dunia, dan empat anaknya tidak tinggal bersama. Muhammad memberi alasan, dia tidak mahu ‘bergantung hidup’ kepada anak-anaknya.

Untuk menarik perhatian penumpang, dia pernah menggantung pingat yang pernah diperoleh dari kejohanan lain di becanya, namun sekarang tidak lagi.

Becanya kini hanya dihiasi mutiara kata dari bekas Presiden Amerika Syarikat Calvin Coolidge - ‘Negara dan bangsa yang melupakan wira mereka tidak akan makmur’.

Sekiranya ditanya oleh penumpang, Muhammad akan bercerita tentang kisah hidupnya, terutama soal kemiskinan dan ketidaktentuan masa depan sebagai ahli sukan.

Isteri dan anak-anaknya sebelum ini pernah meminta Muhammad agar tidak memikirkan tentang perubahan nasibnya itu.

“Isteri saya pernah menangis. Dia khuatir tentang kesihatan saya. Dia mengingatkan saya supaya memilih untuk bahagia dan gembira serta jangan fikir tentang mereka yang telah melupakan saya. Dan saya mengikut pesannya,” imbas Muhammad.

Begitupun, pada dua tahun lalu, isterinya meninggal dunia. Ia menambah lara di hati Muhammad.

“Saya berdoa... agar saya segera dipertemukan dengan isteri tercinta di syurga. Mungkin itu lebih baik daripada kehidupan yang saya alami kini,” ujarnya.