COPENHAGEN: Selepas serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, dua letupan berlaku berhampiran kedutaan Israel di Copenhagen pada malam Selasa, kata pihak polis pada pagi Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak polis melancarkan siasatan, termasuk mengenai kemungkinan kaitan dengan kedutaan itu.

Bangunan kedutaan itu terletak di Hellerup, bahagian utara Greater Copenhagen, yang turut menempatkan beberapa lagi bangunan perwakilan negara lain.

Menurut polis, tiada kecederaan dilaporkan. Butiran lanjut mengenai sifat letupan dan kemungkinan kerosakan masih belum jelas pada pagi Rabu.

"Kami terkejut dengan letupan yang berlaku berhampiran kedutaan awal hari ini," kata kedutaan Israel dalam satu hantaran di Facebook. Mereka menyatakan keyakinan penuh terhadap pihak polis Denmark.

-- BERNAMA