Selepas selamat menjalani pembedahan buah pinggang akibat ketumbuhan bukan barah ‘benigna’, Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump akhirnya dibenarkan pulang ke Rumah Putih.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Stephanie Grisham, Melania dibenarkan pulang pada Sabtu selepas menjalani pembedahan kecil untuk membuang sedikit ketumbuhan pada buah pinggangnya.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah apabila suaminya yang juga Presiden AS, Donald Trump tersalah eja nama isterinya sewaktu menyambut kepulangan Melania.

"Gembira dengan kepulangan Wanita Pertama kembali ke Rumah Putih. Melanie dalam keadaan baik. Terima kasih atas doa dari anda semua," tulisnya di Twitter.

Namun, posting itu telah dipadam dengan segera dan Trump sekali lagi muat naik posting dengan ejaan yang betul.


BACA: Melania Trump buang ketumbuhan buah pinggang

Sementara itu, pembedahan tersebut perlu dilakukan bagi menyekat pengaliran darah terhadap ketumbuhan atau tumor.

Terdahulu, Melania menjalani prosedur embolisasi dan dirawat di hospital selama seminggu pada 15 Mei lalu.

Presiden Donald Trump kemudian melawat isterinya di Pusat Perubatan Tentera Kebangsaan Walter Reed beberapa jam selepas pembedahan selesai.