BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menyifatkan dialog dan rundingan sebagai satu-satunya jalan bagi menyelesaikan krisis Ukraine, selain menyatakan tiada pihak yang akan menang dalam perang nuklear.

Demikian kata Xi ketika menghubungi rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan bilateral dan krisis Ukraine pada Rabu.

Xi berkata hubungan China-Ukraine yang kekal berkembang selama 31 tahun berjaya mencapai tahap perkongsian strategik dan menyumbang kepada pembangunan dan pemulihan kedua-dua negara.

"Saya menghargai kenyataan berulang kali Presiden Zelensky mengenai keprihatinan anda terhadap usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan China dan berterima kasih kepada Ukraine atas bantuan membawa keluar warga China dari Ukraine pada tahun lepas.

"Sikap saling menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah merupakan asas hubungan dua hala dalam bidang politik," kata beliau.

Xi turut mencadangkan kedua-dua negara memberi tumpuan kepada masa depan dan terus merancang mengenai hubungan dua hala berteraskan perspektif jangka panjang.

"Kedua-dua negara sepatutnya mengekalkan tradisi saling menghormati dan sikap tulus ikhlas antara satu sama lain bagi mendorong perkembangan perkongsian strategik China-Ukraine.

"China konsisten dalam pendirian untuk mengeratkan hubungan dengan Ukraine.

"Waima berlakunya perubahan situasi antarabangsa, China komited berusaha bersama dengan Ukraine untuk memperkasa kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara," kata beliau.

Mengenai krisis Ukraine, Xi menegaskan bahawa China berpendirian teguh pada sisi keamanan dan menegakkan keamanan melalui rundingan damai.

"China akan menghantar wakil kerajaan khas untuk hal ehwal Eurasia mengadakan lawatan ke negara-negara termasuk Ukraine bagi menjalankan komunikasi secara mendalam dengan pihak-pihak yang terlibat berhubung penyelesaian krisis Ukraine dengan menggunakan saluran politik," jelasnya.

Zelensky dalam ucapannya menghargai pencapaian luar biasa yang dilakar China dan menyatakan keyakinan bahawa di bawah pimpinan Presiden Xi, China akan mengharungi pelbagai cabaran dan terus bergerak ke hadapan.

"Ukraine berpegang kepada dasar Satu China dan berharap melakukan kerjasama komprehensif dengan China," katanya.

Selain itu, Zelensky juga menyuarakan pandangannya mengenai krisis Ukraine dan menyambut baik peranan penting China dalam memulihkan keamanan dan menyelesaikan krisis melalui kaedah diplomatik.

-- BERNAMA