NEW DELHI: Dewan Rakyat Parlimen India (Lok Sabha) pada Selasa dijadual membincangkan usul undi tidak percaya yang dikemukakan parti pembangkang terhadap kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

"Lok Sabha dijadual mengadakan sesi perbahasan mengenai usul undi tidak percaya hari ini," Xinhua memetik laporan penyiar kerajaan - All India Radio (AIR) pada Selasa.

Perbahasan usul undi tidak percaya itu dijangka berlanjutan selama dua hari hingga Rabu, berikutan Ahli Parlimen akan mengundi pada Khamis.

Usul undi tidak percaya itu dikemukakan oleh timbalan ketua pembangkang Kongres Kebangsaan India (INC) Gaurav Gogoi bulan lalu.

Ia telah diluluskan pada 26 Julai oleh Speaker Lok Sabha Om Birla.

Pemimpin terkemuka INC, Rahul Gandhi, yang dilantik semula sebagai Ahli Parlimen Lok Sabha pada Isnin, akan memulakan perbahasan bagi pihak pembangkang.

Kerajaan Modi, yang menguasai Lok Sabha, dipercayai tidak menghadapi sebarang ancaman dengan usul undi tidak percaya itu.

Ia adalah usaha parti pembangkang untuk memaksa kerajaan bercakap mengenai isu Manipur semasa sesi perbahasan.

Sementara itu, kerajaan dilaporkan bersedia untuk bercakap mengenai topik itu dalam tempoh yang singkat dan menjelaskan bahawa Modi tidak akan bercakap di Parlimen mengenai isu terbabit.

Manipur dirundung pergolakan sejak 3 Mei apabila keganasan berskala besar tercetus semasa protes untuk menyenaraikan komuniti Meiteis untuk status puak berjadual.

Keganasan yang berlanjutan setakat ini telah mengorbankan lebih 150 orang di negeri timur laut itu.

Pertembungan etnik kumpulan majoriti Meitei dan minoriti suku Kuki telah menyebabkan 60,000 orang hilang tempat tinggal.

Kumpulan perusuh melakukan vandalisme dan pembakaran hingga mengakibatkan ratusan rumah dan kedai musnah.

Ini adalah usul undi tidak percaya kedua terhadap kerajaan Modi.

Pada 2018, TDP (Parti Telugu Desam) mengemukakan usul undi tidak percaya yang pertama berhubung peruntukan dana yang tidak mencukupi kepada Andhra Pradesh.

-- BERNAMA