Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan dua lagi kes positif COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 108 kes.

MOH dalam kenyataan di sini berkata satu daripada kes itu mempunyai pertalian dengan kluster baharu di Wizlearn Technologies Pte Ltd yang jumlahnya kini meningkat kepada 13 kes.

Kes itu melibatkan seorang wanita warga Filipina berusia 34 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, yang bekerja di rumah yang sama seperti Kes 102, wanita warga Filipina berusia 41 tahun.

Kedua-duanya pekerja pembantu rumah kepada Kes 101, lelaki berusia 61 tahun, warganegara Singapura.

Sementara itu, satu lagi kes baharu dilaporkan membabitkan seorang wanita warga Singapura berusia 68 tahun yang berada di Jakarta, Indonesia selama empat hari dari 11 Feb dan mempunyai pertalian dengan Kes 94, wanita berusia 64 tahun, warganegara Singapura.

Kedua-dua kes baharu itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, mahupun ke daerah Cheongdo dan bandar Daegu di Korea Selatan baru-baru ini.

Mengenai situasi kes yang disahkan, MOH berkata empat lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar hospital pada Isnin menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya 78 orang.

Seorang daripada pesakit yang telah pulih sepenuhnya ialah lelaki berusia 26 tahun warga Bangladesh, merupakan pemegang Pas Kerja Singapura dan mempunyai pertalian dengan kluster di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

Daripada 30 kes yang disahkan yang masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari ini, MOH telah mengenal pasti 3,140 kontak rapat yang dikuarantin, daripada jumlah itu, 2,805 telah selesai menjalani kuarantin mereka.

-- BERNAMA