WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjangkakan negara itu bakal melalui keadaan berbeza dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 menjelang akhir musim panas ini.

Namun, beliau enggan menjangkakan bahawa negara itu bakal mencapai imuniti kelompok bagi tempoh itu.

Jelasnya lagi, pihaknya kini terus meningkatkan pengeluaran vaksin.

“Saya merasakan menjelang akhir musim panas ini, kita akan berada dalam keadaan yang berbeza berbanding ketika ini. Seperti yang anda tahu, saya sudah berusaha keras untuk memastikan kita mempunyai lebih 600 juta dos vaksin.

“Kita akan teruskan untuk memastikan ia cukup. Kita akan menambah jumlah itu untuk seluruh rakyat Amerika Syarikat.

“Walaupun berdepan kritikan, kita telah meluaskan akses vaksinasi kepada beberapa tempat kepada lebih 40,000 farmasi sekarang dan semua pusat kesihatan di seluruh negara, promosi bergerak juga diadakan. Ia bertambah baik dan kita ketika ini mendahului dalam dunia. Rayuan saya ketika ini kepada semua; tolong dapatkan vaksinasi segera, terima kasih,” katanya.

Kenyataan Biden menyusul selepas pakar kesihatan awam menjangkakan negara itu tidak akan mencapai imuniti kelompok kerana peningkatan kes harian dan varian baharu.