BEBERAPA hotel milik bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo dilaporkan bakal dijadikan hospital sebagai pusat rawatan COVID-19.

Media antarabangsa mendakwa usaha pemain kelab Juventus itu sebagai membantu dunia memerangi pandemik COVID-19.

Menurut laporan tersebut, kos rawatan mangsa yang dijangkiti COVID-19 dan elaun petugas perubatan yang menjaga pesakit juga akan ditanggung oleh bintang bola sepak itu.


Ronaldo memiliki hotel bertaraf empat bintang di Funchal dan di bandaraya Lisbon sebagai sebahagian daripada jenama CR7 miliknya.

Bagaimanapun, kakitangan Ronaldo yang bekerja di sebuah hotel di Lisbon memaklumkan setakat ini tiada sebarang perancangan berhubung perkara tersebut.

“Kami adalah sebuah hotel. Kami tidak akan menjadi hospital. Ia seperti orang lain, kami akan kekal sebuah hotel. Kami telah dihubungi oleh media (berhubung perkara ini),”demikian kata jurucakap tersebut kepada portal RTL Nieuws.

Setakat ini, Ronaldo masih belum memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Sejak beberapa minggu lalu, penyerang berusia 35 tahun itu dilihat menzahikrkan keprihatinan terhadap penularan COVID-19, selain menggesa orang ramai merujuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ronaldo sedang menjalani proses kuarantin di rumahnya selepas rakan sepasukannya Daniele Rugani dari kelab Juventus didapati positif COVID-19.