BRUSSELS: Eropah dan Afrika akan bekerjasama untuk menyelesaikan pertikaian mengenai cara memastikan pengedaran vaksin dan rawatan COVID-19 yang adil.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyatakan, semua pihak berkongsi matlamat sama, namun mempunyai cara berbeza untuk mencapai matlamat tersebut dan oleh itu perlunya ada jambatan penghubung.

Von der Leyen berkata, para pemimpin telah mengadakan perbincangan "baik, sengit, membina" mengenai topik itu dan Suruhanjaya Eropah dan Suruhanjaya Kesatuan Afrika akan bekerjasama.

Hanya 11 peratus penduduk di benua Afrika telah divaksin sepenuhnya pada awal Februari, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berbanding sasaran pertengahan 2022 sebanyak 70 peratus.

Banyak negara membangun telah meminta pengecualian hak harta intelek (IP) untuk vaksin dan rawatan COVID-19.

Negara kaya, termasuk banyak di EU, berkata peraturan sedia ada yang membenarkan negara memberikan lesen kepada syarikat tempatan akan meningkatkan pengeluaran dengan lebih berkesan.

WHO sebelum ini mengumumkan di Brussels bahawa enam negara Afrika iaitu Mesir, Kenya, Nigeria, Senegal, Afrika Selatan dan Tunisia antara negara pertama di benua itu menerima teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin MRNA.