SHAH ALAM: Kerajaan Selangor yakin sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu pada Julai ini boleh dicapai, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan bilangan 245 keluarga yang masih berada dalam kategori miskin tegar ketika ini berbanding 861 direkodkan dua bulan lepas.

"Dengan beberapa inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan melalui dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), kita percaya menjelang Julai ini baki miskin tegar itu kita boleh nokhtahkan.

"Daripada semakan yang dibuat, sebahagian daripada mereka hanya kekurangan RM17 daripada pendapatan bulanan untuk mereka keluar dari status miskin tegar, dan kelompok ini yang akan kita tumpu serta bantu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim PLATS Biaya di sini hari ini.

Amirudin berkata Sepang muncul daerah pertama daripada sembilan daerah di Selangor yang berjaya merekodkan sifar miskin tegar ketika ini.

Pada 1 Mei lepas, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menghapuskan keluarga miskin tegar selewat-lewatnya pada Julai ini dan bagi mencapai matlamat itu, pihaknya memasukkan keluarga berkenaan sebagai penerima Bingkas dan layak menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Berhubung PLATS Biaya, Amirudin berkata ia merupakan skim pembiayaan khas bagi membantu peniaga yang mengikuti program latihan usahawan atau dikenali sebagai U-PLATS untuk mengembangkan perniagaan melalui bantuan yang disediakan pihak kerajaan negeri.

Beliau berkata untuk fasa pertama, inisiatif yang dilaksanakan Yayasan Hijrah Selangor (YHS) dengan kerjasama Inisiatif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menawarkan pembiayaan sebanyak RM3,000 kepada 120 daripada 362 usahawan yang menyertai program U-PLATS sebagai dana bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

"PLATS Biaya adalah skim pinjaman bersubsidi iaitu peminjam hanya perlu membayar pinjaman pokok sahaja dengan tempoh pembiayaan adalah selama 12 bulan, sekali gus boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan peserta U-PLATS pada masa akan datang," katanya.

PLATS atau Platform Selangor adalah sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan pada 2020 untuk menggerakkan ekonomi peniaga kecil Selangor khususnya ketika pandemik COVID-19.

Setakat 31 Mei lepas PLATS telah berjaya mendaftarkan sebanyak 30,781 peniaga.

-- BERNAMA