DENMARK menghentikan penggunaan vaksin COVID-19 keluaran Oxford-AstraZeneca susulan wujud kebimbangan berhubung kes terpencil melibatkan masalah pembekuan darah.

Ini menjadikan Denmark negara Eropah pertama henti guna vaksin AstraZeneca.

Keputusan ini dibuat selepas penggunaan vaksin AstraZeneca ditangguhkan sebulan.

Tindakan ini juga dijangka akan melambatkan program vaksin Denmark untuk beberapa minggu.

Pengarah Badan Kesihatan Denmark bagaimanapun tidak menolak untuk kembali menggunakan semula vaksin AstraZeneca di masa depan.

Agensi kawal selia Eropah, Agensi Perubatan Eropah (EMA) sebelum ini umum kaitan antara masalah pembekuan darah dengan vaksin AstraZeneca.

Namun ia mendapati risiko kematian akibat COVID-19 adalah lebih tinggi.


Sebelum ini beberapa negara Eropah menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca untuk beberapa ketika namun penggunaannya disambung semula bagi had umur tertentu.

Ini bukan masalah pertama berkaitan vaksin.

Selain AstraZeneca, masalah sama dihadapi vaksin suntikan tunggal keluaran Johnson & Johnson.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah menggantung sementara penggunaan vaksin keluaran Johnson & Johnson.

Keputusan itu juga dipercayai dikaitkan dengan masalah pembekuan darah dihadapi penerima vaksin tersebut.